SPSS PERKUKUH KESIAPSIAGAAN ANGGOTA MENERUSI LATIHAN RED TEAMING
JERUDONG – Dalam usaha mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, profesionalisme dan keberkesanan kawalan keselamatan, Syarikat SETIA Protective Security Services (SPSS) Sdn. Bhd. telah melaksanakan Pilot Red Teaming (RT) Exercise di Pintu Masuk Utama Kompleks SPSS pada 20, 22 dan 23 Oktober 2026.
Latihan berkenaan merupakan salah satu inisiatif SPSS bagi menilai kecekapan, kewaspadaan dan tindak balas anggota keselamatan ketika berhadapan dengan pelbagai situasi yang memerlukan tindakan pantas, tepat dan berlandaskan prosedur operasi keselamatan yang ditetapkan.
Pelaksanaan latihan tersebut melibatkan beberapa siri simulasi terkawal, antaranya penilaian kawalan akses, pemeriksaan identiti, pematuhan prosedur keselamatan dan pemerhatian terhadap tingkah laku mencurigakan (suspicious behaviour observation).
Latihan ini turut memberi penekanan terhadap kepentingan komunikasi yang berkesan, pematuhan rantaian perintah (chain of command), pengendalian kejadian secara profesional dan keupayaan anggota membuat penilaian serta tindakan sewajarnya mengikut keadaan.
Pendekatan latihan berkenaan turut mengambil kira pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui Red Teaming Officer Course di AETOS Training Academy, Singapura dan disesuaikan dengan keperluan operasi serta prosedur keselamatan SPSS.
Sepanjang pelaksanaan latihan, aspek keselamatan diberikan keutamaan bagi memastikan setiap simulasi dijalankan secara terkawal tanpa menjejaskan kelancaran operasi keselamatan sebenar.
Setiap sesi latihan turut disusuli dengan sesi perbincangan dan penilaian (debriefing) bagi mengenal pasti kekuatan, ruang penambahbaikan dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan mutu perkhidmatan keselamatan.
Inisiatif seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan SPSS dalam membangunkan anggota keselamatan yang berdisiplin, cekap, berwaspada dan berkeupayaan menghadapi cabaran keselamatan semasa.
Melalui pelaksanaan latihan secara berterusan, SPSS berharap dapat memperkukuh budaya kecemerlangan operasi, meningkatkan keyakinan pelanggan dan memastikan perkhidmatan keselamatan yang diberikan berkualiti serta sentiasa berada pada tahap profesional.